Ada Apa Pada Pena Andai Tiada Peluru Ilmu?

Perbezaan Antara Ilmu Dan Maklumat - Bahagian 1

0 comments

Kepentingan Memahami Perbezaan Antara Ilmu Dan Maklumat 




معرفة الفرق بين العلم والمعلومات

'Membaca Jambatan Ilmu'

Kita sering mendengar ibarat ataupun slogan ini di mana-mana, namun pernahkah terdetik di minda kita, sejauh mana kebenaran slogan ini?

Benarkah hanya dengan membaca saja ilmu dapat diperolehi?

Sebelum menjawab persoalan tersebut, pertamanya kita perlu membezakan antara ilmu dan maklumat. Menurut para ulama, maklumat bukanlah ilmu, ini kerana ia tidak sistematik dan tidak diasaskan kepada prinsip, metode dan kaedah ilmiah yang tertentu. Sebab itulah teknologi maklumat (Information Technology) melalui komputer itu tidak disebut ilmu, cuma maklumat sahaja, kerana ia menawarkan pelbagai maklumat semasa yang beragam bentuknya, yang belum matang untuk dapat dianggap sebagai ilmu. Sekiranya maklumat itu adalah ilmu, nescaya komputer dapat dianggap lebih berilmu dari manusia, bahkan ciptaan yang paling berilmu di dunia!

Lantaran sifat maklumat yang berbagai-bagai dan tidak sistematik ini, timbul situasi 'information overdose' yang melambangkan maklumat yang terlampau banyak dan melimpah ruah. Seperti berita(news), maklumat juga wujud secara berlebihan sehingga perlu ditolak dan dipilih untuk menentukan kepentingan dan keabsahannya.

Berbeza halnya dengan ilmu, ilmu mempunyi manhaj(methodology), mekanisme dan ciri-ciri khusus yang membezakannya dengan informasi dan maklumat. Oleh kerana itu perbahasan tentang ilmu telah menjadi antara persoalan utama yang berpanjangan sejak dahulu lagi. Di sisi sarjana dan pemikir barat, permasalahan ini dibahaskan dalam falsafah ilmu dalam aspek 'Theory Of Knowledge' ataupun Epistemologi yang membahaskan tentang hakikat ilmu, sumber ilmu, kaedah ilmu dan lain-lain.

Bagaimanapun ilmuwan Islam telah mendahului barat dalam membahaskan persoalan ini dengan tuntas, sehinggakan para ulama al-Azhar as-Syarif telah merumuskan bahawa ilmu mempunyai 5 rukun utama yang sekiranya diabaikan salah satu daripadanya, ia tidak dianggap sebagai ilmu yang benar.

Ya, jika maklumat itu sendiri perlu ditapis dan dipilih serta dibezakan antara maklumat yang benar dan yang palsu, apatah lagi ilmu, bahkan ilmu itu menurut ulama adalah yang hanya sanya mengandungi kebenaran. Sekiranya tidak bertepatan dengan kebenaran atau realiti(al-Mutobiq lil Waqi'), maka ia tidak dinamakan ilmu.

Justeru itu, menjawab persoalan tersebut, sebenarnya membaca sahaja semata-mata tidak dapat membawa kepada ilmu, ini kerana disana terdapat perkara-perkara lain yang perlu diaplikasikan untuk mendapatkan ilmu. Mungkin ibarat tersebut lebih sesuai jika diubah menjadi:

'Membaca Jambatan Maklumat'

Bersambung...


Oleh : Akademi Pemikiran Turath, Kaherah
Share this article :

Post a Comment

 
| | | |
Copyright © 2014. Qalam Wildan - All Rights Reserved
Template Modified by Qalam Wildan
Proudly powered by Wa ma taufiqi illa billah