Ada Apa Pada Pena Andai Tiada Peluru Ilmu?

Perbezaan Antara Ilmu Dan Maklumat - Bahagian 2

0 comments

Kepentingan Mengetahui Perbezaan Antara Ilmu Dan Maklumat 


Sambungan daripada bahagian 1.

Sebelum kita meneroka lautan makrifat mengenai rukun-rukun ilmu dan penjelasannya, barangkali adalah lebih baik untuk kita memperhalusi dahulu kefahaman kita mengenai perbezaan antara ilmu dan maklumat dan hubungan antara kedua-duanya.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa tidak membezakannya dengan hanya memberikan takrif yang tepat bagi kedua-duanya saja? Ya, memang benar, dengan mengetahui apakah definisi ilmu dan pengertian maklumat, kita dapat membezakannya secara umum, namun perbahasan mengenai hakikat ilmu itu sangat panjang dan tidak sesuai untuk diperincikan disini kerana perlu dibahaskan dari sudut konsep falsafahnya, ontologi dan epistemologinya, perbandingan antara pentakrifan ahli falsafah barat dan ilmuwan Islam berkenaannya dan lain-lain agar kefahaman kita sebagai seorang intelektual Islam tentangnya lebih jelas.

Bagaimanapun, bagi penulis, membezakan sesuatu melalui kriterianya yang pelbagai lebih menjelaskan pemahaman kita, jadi disini memadailah dengan mentakrifkan ilmu dengan menekankan ciri-ciri tertentu sahaja, yakni takrif yang berdasarkan connotative definition(at-ta'rif bil-rasm) dan bukannya secara tepat berdasarkan precise definition(at-ta'rif bil hadd). Antara ciri-ciri ilmu yang membezakannya dengan maklumat ialah:

1. Mempunyai teori atau konsep tertentu, yakni boleh diterangkan maksud dan tujuannya secara rasional.

2. Mempunyai kaedah(method) tertentu untuk mendapatkannya.

3. Mempunyai pokok persoalan(subject matter/الموضوع) dan kandungan permasalahan (body of problems/المسائل) tertentu secara sistematik.

4.Kandungan permasalahannya sentiasa dalam proses pertambahan, pemantapan dan penyempurnaan (tiada penghujungnya).


Menurut al-Syaikh Usamah as-Sayyid al-Azhari, terdapat kaitan yang sangat rapat dan tidak boleh terpisah antara ilmu dan rabbaniah(divinity) ataupun tazkiyah(penyucian jiwa) yang mana sekiranya rabbaniah itu menjadi tunjang dan dihubungkan dengan pengetahuan, maka ia akan menghasilkan ilmu yang benar. Perkara ini mempunyai sandaran daripada al-Quran sepertimana dalam firman Allah:

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ
“Samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan menyucikan jiwa kamu, dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” {2:151}

كُوْنُوْا رَبَّانِيِّيْنَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُوْنَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُوْنَ
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” {3:79}
Dimana dalam ayat-ayat tersebut, Allah mengaitkan antara pembelajaran dan hikmah dengan tazkiyah dan rabbaniah. Lantaran itu, yang dinamakan ilmu yang sebenar itu adalah yang membawa kepada taqarrub, taqwa dan takutkan Allah.

Kata as-Syaikh lagi, seorang insan itu sekiranya mempunyai semangat dan kemampuan untuk membaca, mengkaji dalam pelbagai bidang serta mempunyai segala kemudahan untuk menambah pengetahuannya, sebenarnya ia seolah-olah dalam proses membuka ‘folder-folder’ dalam mindanya bagi setiap pengetahuan, maklumat dan permasalahan.

Maka peranan ilmu adalah untuk menghapuskan pemisah-pemisah antara ‘folder-folder’ yang terasing dan tertutup ini melalui proses berfikir, lalu mula terbina di dalam minda jaringan yang saling berkait dan bersambung antara pengetahuan-pengetahuan dan maklumat yang pelbagai, yang mana lama-kelamaan mindanya berpindah daripada kemampuan untuk menghafal semata-mata, menjadi kemahiran akal dan malakah(penguasaan) dalam tatacara berfikir, memahami, menganalisa, meneliti, membezakan serta menghubung dan mengaitkan antara maklumat-maklumat daripada bidang ilmu tertentu, dengan maklumat dan pengetahuan daripada bidang ilmu yang lain, sehingga ianya dapat menghasilkan dan menyingkap ilmu yang baru.

Oleh sebab itulah tradisi berfikir ini didefinisikan oleh ulama mantiq sebagai:

‘Proses gerakan minda pada perkara yang sudah diketahui, atau penyusunan perkara-perkara yang telah diketahui untuk sampai kepada perkara yang tidak diketahui(lalu menghasilkan pengetahuan yang baru).’

Bagaimanapun proses dan kemahiran ini tetap tidak dapat lepas dari hubungannya dengan tazkiyah yang disebutkan tadi, iaitu rabbaniah dan tazkiyah ini jika diharmonikan dengan pengetahuan dan maklumat yang terasing dan terpisah-pisah, maka tersuluh dan terbimbinglah basirah dan minda seorang insan untuk melihat jaringan hubungan dan kaitan ilmiah yang halus antara permasalahan dan pengetahuan yang berbagai-bagai lalu tersingkaplah kefahaman dan ilmu yang belum pernah diketahui sebelum ini.

Bahkan prinsip rabbaniah juga merupakan benteng yang mengawal dan merawat kelemahan dan penyakit batin(riya’, sombong dll) yang berlaku dalam mendalami ilmu-ilmu yang pelbagai lantas menjadi asas untuk mengamalkan ilmu tersebut seterusnya menjadi ilmuwan rabbani.

Jika kita teliti kembali sejarah ilmuwan dan tokoh-tokoh agung Islam, kita akan dapati mereka tidak mendapatkan kemahiran dan penguasaan ilmu seorang diri ataupun secara automatik, bahkan keberhasilan mereka dalam menguasai ilmu yang pelbagai adalah kerana sistem pembelajaran mereka yang unggul, yang mana kata ulama, ianya berasaskan 5 mekanisme utama iaitu akal yang tajam, kitab yang muktamad, guru yang hebat, manhaj(metodologi) yang muktabar, serta suasana atau lingkungan ilmu yang membina.

Bersambung..

Oleh : Akademi Pemikiran Turath
Share this article :

Post a Comment

 
| | | |
Copyright © 2014. Qalam Wildan - All Rights Reserved
Template Modified by Qalam Wildan
Proudly powered by Wa ma taufiqi illa billah